Friday, October 23, 2009

Wanita dan Lelaki "Saling Memerlukan" ~ Siri 2


Isteri yang Solehah

Isteri yang solehah adalah asas yang terpenting sekali daripada asas-asas yang lain. Kegagalan asas ini boleh mengakibatkan asas-asas lain tidak akan benar-benar berfungsi untuk memberi kebahagiaan sebenarnya di dalam kehidupan. Tanpa wujud isteri yang solehah maka keluarga-keluarga Islam tidak akan dapat diwujudkan. Sedangkan pembinaan dan terbentuknya pergerakan Islam itu bergantung kepada kelahiran keluarga-keluarga Islam ini. Kalau sekiranya pergerakan Islam itu penting untuk membawa dan mempraktikkan Islam maka isteri yang Solehah juga sama pentingnya. Isteri yang solehah itu sentiasa berjuang bersama-sama suami menyebarkan fikrah Islamiyyah, khususnya kepada kaum sejenisnya.

Mendidik dan membimbing mereka sehingga lahir kefahaman dan kesedaran Islam. Sehingga mereka pula mampu untuk menjadi pejuang-pejuang akidah yang bersedia menumpukan taat setia kepada Islam dan pergerakannya. Keletihan suami setelah melaksanakan tugas harian dan berdakwah disambut dengan wajah yang berseri dengan ucapan kata-kata yang dapat memberi kekuatan jiwa untuk lebih istiqamah, ketika menghadapi masyarakat jahiliyah tanpa mempunyai perasaan bosan dan jemu. Mengizinkan dan merasa bahagia melihat suami menjalankan tugas Islam tidak kira masa dan waktu. Bersedia memberikan rumahnya, hartanya dan masanya untuk tugas yang murni ini dengan hati yang penuh redha. Isteri yang solehah juga sentiasa melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya dengan sebaik-baiknya dan bersedia untuk menghadapi segala ujian-ujian dari Allah SWT.


Sifat-sifat yang lain 'Isteri yang Solehah'.

1. Isteri yang solehah itu ialah yang taat kepada Allah dan Rasul dan patuh kepada perintahNya. Sanggup menjaga maruahnya walaupun di tempat-tempat yang sunyi dari pandangan orang lain, juga yang sering mengingati Alah serta takut kepadaNya dengan sebenar-benar takut, tetapi berani di dalam menegakkan Islam.

Firman Allah S.W.T maksudnya: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang Soleh ialah yang taat kepada Allah iagi memelihara diri di sebalik pembelakangan suaminya oleh kerana Allah telah memelihara (mereka)." (An-Nisa': 34)

2. Isteri mesti bersyukur akan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada suaminya.

3. Isteri mesti taat kepada suaminya.

Maksud sabda Rasulullah S.A.W, "Kalau boleh aku menyuruh seseorang supaya sujud kepada orang yang lain nescaya aku menyuruh isteri supaya sujud kepada suaminya".

4. Maksud sabda Rasulullah S.A.W, "Hak suami atas isterinya ialah si isteri tidak meninggalkan tempat tidurnya, hendaklah ia menghargai sumpah suami, hendaklah ia taat kepada suami dan janganlah ia keluar rumahnya melainkan dengan izin dan janganlah ia membenarkan masuk ke rumahnya orang yang tidak disukai oleh suaminya."

5. Isteri mesti menjaga hak dan kehormatan suaminya, samada suaminya ada di rumah atau tidak. Tingkah laku hendaklah disukai oleh suaminya. Ditegah menyembunyikan harta benda suami. Dan ditegah juga berbangga-bangga akan kecantikan dirinya dan pada keluarganya. Jangan pula menghinakan suaminya kerana mempunyai rupa dan wajah yang buruk.

6. Isteri mestilah mendahului hak suaminya daripada hak dirinya sendiri atau kaum kerabatnya, sentiasa menunjukkan hemah yang tinggi, lemah lembut tidak maki hamun, sumpah-seranah, umpat-keji, bantah membantah dan lain-lain.

7. Menunjukkan sikap yang jernih dan kemesraan dan lapang dada serta segala hal yang menyebabkan kesenangan suaminya diwaktu dia ada di rumah. Selalu di dalam setiap tindakan dan keputusan, tingkahlaku budi bicara, tutur bahasa dan makan-minum janganlah terkeluar dari landasan yang digariskan oleh Islam.

8. Maksud sabda Rasulullah SAW, "Sebaik-baik wanita ialah perempuan yang apabila engkau memandangkan ia menyukakan hati dan apabila engkau tidak ada ia menjaga harta engkau dan memelihara dirinya."

9. Isteri yang Solehah mengikut pandangan Islam adalah isteri yang berpengetahuan, berakhlak mulia, tahu melayan suami serta mengasihi dan mendidik anak-anak ke jalan hidup yang dikehendaki oleh Allah dan mengikut landasan yang ditunjukki oleh Rasulullah S.A.W.

10. Pesanan Imam Al-Ghazali kepada anak perempuannya di hari perkahwinannya

Anakku!
Engkau sekarang akan berpindah dari rumah tempat engkau dibesarkan
Dan akan berada di tempat tidur yang tidak engkau kenal,
Dan rakan hidup yang engkau tidak biasa dengannya.
Itulah suamimu;

Jadilah engkau sebagai tanah untuknya dan ia akan menjadi sebagai langitmu.
Jadilah engkau sebagai lantai untuknya dan ia dapat kau jadikan tiangmu.
Jadikanlah dirimu ibarat seorang khadam kepadanya, nescaya dia pula akan menjadi khadam kepadamu.
Jangan engkau memaksa-maksa apabila engkau meminta sesuatu daripadanya
Dengan cara yang demikian akan menjadi ia merasa benci padamu.
Jangan pula engkau menjauhkan diri nescaya ia akan melupakan engkau.
Dan kalau ia pula menjauhkan diri secara marah kerana sesuatu sebab yang tertentu, maka yang eloknya jauhkanlah dirimu dari padanya semasa marah.

Peliharalah hidung, telinga dan matanya Janganlah membiarkan dia menghidu sesuatu daripada mu melainkan yang harum,
Janganlah membiarkan dia mendengar sesuatu daripadamu melainkan yang baik,
Dan janganlah membiarkan dia melihat sesuatu daripada mu
melainkan yang cantik, belaka.


Rumah yang lapang

Rumah yang lapang ialah asas yang kedua pentingnya setelah isteri yang solehah kerana di sinilah proses pendidikan Islam bermula. Kelahiran rumah yang lapang dan selesa ini akan memberi kemudahan dan ketenangan semasa proses didikan berjalan di rumah. Pendidikan kepada anak-anak khususnya, perlu kepada suasana yang tenteram dan harmoni. Dari suasana inilah yang akan membentuk jiwa dan akhlak mereka. Bukan ini sahaja malahan suasana begini akan dapat mengisi ketenteraman jiwa kepada para dai' setelah sibuk berjuang dan menghadapi masyarakat jahiliah yang penuh dengan maksiat dan kemungkaran.

Rumah yang lapang adalah rumah yang sempurna dari segi kedudukannya, kebersihannya dan kemudahan-kemudahan asas. Sebaikbaiknya sekiranya berkemampuan adalah lebih baik membuat rumah sendiri kerana kedudukan bilik-bilik dan ruang tetamu dapat diletakkan dengan baik.

Diletakkan tirai pemisah di antara ruang dan bilik tetamu dengan bilik-bilik yang lain. Mempunyai dua tandas dan bilik mandi untuk kegunaan sendiri dan tetamu. Di sini juga terdapat sebuah bilik perpustakaan kecil yang dipenuhi dengan buku-buku dan majalah-majalah Islam untuk meningkatkan ilmu syara dan ilmu waqei (realiti).

Dari segi kebersihan pula sentiasa diuruskan dengan sempurna. Tidak dibiarkan kotoran dan abuk-abik begitu saja. Dari pandangan luarnya sudah cukup menerangkan sifat dan akhlak penghuninya. Di keliling rumah ditanami sedikit bunga sebagai perhiasan, dipotong mana-mana rumput yang panjang dan dicat sekadarnya untuk memberi pandangan luar yang lebih elok.

Segala alat-alat moden yang boleh menjimatkan masa dan memudahkan kerja-kerja rumah adalah perlu digunakan sepenuhnya bergantung kepada kemampuan masing-masing. Kerana dengan ini akan lebih memberi kemudahan dan keselesaan. Rumah yang lapang juga sentiasa bersedia untuk digunakan dalam rangka menjalankan aktiviti-aktiviti Islam.


Kenderaan yang baik

Kenderaan yang baik adalah satu alat yang penting untuk mempercepatkan segala urusan dan kerja. Di dalam kontek Pergerakan Islam ianya sungguh berfungsi untuk memudahkan pergerakan dalam proses penyebaran fikrah Islamiyah, mengikuti ataupun menjalankan programprogram Islam terutama bagi tempat-tempat yang jauh dan kawasan pendalaman.

Perjalanan sistem kenderaan umum hari ini tidak memenuhi tuntutan syara' (kerana ianya lahir dari sistem hidup ciptaan manusia) dari itu mempunyai kenderaan yang baik adalah satu keperluan asas. Dari kenderaan yang baik boleh digunakan untuk melaksanakan tugas harian, menziarahi sahabat-sahabat dan kaum keluarga. Dengan ini boleh memudahkan perjalanan tanpa bersesak-sesak dan membuang masa dengan sia-sia.

Kenderaan biarlah sederhana dari segi harganya. Apabila terdapat mana-mana kotoran hendaklah dibersihkan. Apabila didapati rosak maka perbaikilah dengan segera. Segala syarat-syarat yang dikenakan oleh system kenderaan hari ini seperti lesen, roadtax, insuran dan lain-lain hendaklah dipenuhi kerana kita sedang berhudnah dengan sistem jahiliyah hari ini, Perlu diingat bahawa cara pembelian "HIRE PURCHASE" adalah dilarang oleh Islam kerana ianya mempunyai unsur-unsur riba.


Artikel dipetik daripada Al-Mukminah Solehah.
Karangan oleh Syed Abu Hassan Ali Nadawi

Sunday, October 18, 2009

Wanita dan Lelaki "Saling Memerlukan" ~ Siri 1

Saudara-saudara Muslimin dan Muslimat sekalian.

Saya memanjatkan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah S.W.T di atas jemputan saudara saudara di majlis yang berbahagia ini dan memberikan pula peluang kepada saya untuk berucap mengenai persoalan yang paling asas, yang ada hubungan dengan kewujudan Individu dan Masyarakat. Mula-mula sekali ingin saya bacakan sepotong ayat Al-Quran, dan kemudian saya akan cuba menerangkan pandangan Islam tentang perhubungan sosial dan menggambarkan betapa ianya amat realistik di dalam kehidupan bermasyarakat Ayat itu berbunyi:-

Wahai Manusia' Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari seorang manusia (iaitu Nabi Adam A.S) dan daripadanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Bertaqwalah kepada Allah yang dengan mempergunakan namanya' kamu saling meminta antara satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu. (Surah An-Nissa': 1)

Ayat ini menerangkan dengan jelasnya pandangan Islam tentang kedudukan wanita, hak-hak serta kewajipan lelaki dan wanita. Pertamanya, Allah menjelaskan bahawa lelaki dan wanita dijadikan dengan cara yang sama dan matlamat kewujudan mereka amat berkait rapat, seolah-olah mereka berasal dari tubuh yang satu. Kelainan dalam binaan tubuh-badan mereka menyebabkan mereka menjalani kehidupan ini dengan selesa. Kedua-dua lelaki dan wanita dicipta dari satu jiwa dan jiwa itu dibahagikan kepada dua bahagian, namun demikian tidak wujud percangahan atau permusuhan sesama mereka.

Dalam menjalani hidup ini, kaum lelaki diberikan seorang teman hidup dari jenisnya sendiri yang mana ia adalah sebahagian daripada tubuhnya. Selepas itu umat manusia berkembang biak dari mereka berdua. Allah S.W.T merestui penyatuan, kasih sayang dan kehidupan rumahtangga mereka dengan menambahkan bilangan mereka, dengan ini mereka yang pada asalnya cuma dua orang kini telah berlipat ganda menjadi berjuta-juta orang sehingga tiada siapa yang dapat memberitahu berapa ramai jumlah manusia yang dilahirkan di dunia ini. Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Allah membayangkan ramainya bilangan mereka dengan menggunakan perkataan "Berkembang Biak".

Kemudian Allah menyatakan: Takutilah Allah yang atas namanya kamu meminta kepada orang lain. Satu saranan yang bersifat revolusioner pertama kali disebut oleh Al-Quran iaitu dalam hal ehwal pengendalian ekonomi manusia, tiada seorang pun boleh berdiri sendiri, semua orang bergantung kepada orang lain. Setiap orang pada masa yang sama ialah seorang pemberi dan seorang peminta. Pembahagian ini bukanlah pada satu pihak terdiri dari peminta-peminta dan pada satu pihak lagi adalah pemberi-pemberi. Si peminta juga adalah pemberi dan begitu juga sebaliknya. Setiap orang diikat oleh rangkaian hak-hak dan kewajipan, Dalam susunan (network) hidup bertamaddun setiap orang saling memerlukan antara satu sama lain.

Menurut kebiasaan orang Arab, apabila mereka menanyakan sesuatu atau memintanya kepada orang lain mereka mengucapkan nama Allah. Seperti: "As aluka billah" ertinya: Saya bertanya atau meminta kepadamu dengan nama Allah. Tanpa wanita, tiada lelaki yang dapat memenuhi perjalanan tabi'enya dengan cara yang selesa dan mudah, dan begitu juga, tiada wanita soleh yang dapat menjalankan kehidupan yang bahagia dan tenteram tanpa ada seorang teman hidup. Allah Pencipta alam menjadikan mereka saling memerlukan, yang mana tanpa ada seorang maka kehidupan seorang lagi menjadi tidak sempurna.

Sekali lagi, ditegaskan bahawa dengan Nama Allah maka kita meminta hak kita sesama sendiri. Ummah Islamiah (Masyarakat Islam) ditegakkan atas kepercayaan kepada Allah yang Esa, Kekuasaan, Kebesaran dan KetauhidanNya. Perhubungan antara seorang Muslim dan Muslimah menjadi sah apabila disebutkan nama Allah di antara mereka. Dengan nama Allahlah maka orang asing, saudara mara yang jauh dan dekat menjadi bersaudara. Ikatan antara lelaki dan wanita adalah ikatan Iman dan kasih sayang; ikatan yang mendalam, rapat dan semula jadi.

Ini, merupakan satu ikatan yang unik. Semua ini ialah keajaiban yang lahir dari menyebut nama Allah. Satu dunia baru dilahirkan apabila disertakan dengan Nama Allah. Muslim dan Muslimah tidak boleh bercampur secara bebas antara satu sama lain dan ada kalanya mereka tidak boleh berjalan sama. 'Mereka bukan muhrim’ (Mereka tidak boleh masuk ke bilik Muslimah dan sebaliknya). Tetapi satu ikatan yang suci dibuat sebaik sahaja Nama Allah di sebut di antara mereka. Al-Quran dengan gayanya yang tidak dapat ditiru telah menerangkan kenyataan asas masyarakat manusia, saling bergantungan di kalangan anggotanya, saling kait dan memerlukan, dalam beberapa ayat yang mudah Dengan mempergunakan Namanya kamu saling meminta antara satu sama lain.

Ayat ini seterusnya mendesak supaya kita bertaqwa kepada Allah yang dengan menggunakan Namanya kita menghalalkan apa yang dihalalkannya dan mencetuskan revolusi dalam kehidupan kita. Al-Quran telah menggunakan satu ungkapan yang tiada tolok bandingnya untuk menjelaskan perhubungan yang rapat antara suami dan isteri. Ayat itu menyebut: Mereka itu adalah pakaian bagimu dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. (S. Al- Baqarah 2:187)

Hanya Al-Quran sahaja yang mampu menggunakan perkataan pakaian dalam konteks ini. Pakaian digunakan untuk menutup kebogelan dan perhiasan hidup. Ia menyimpulkan kepada kita segala-galanya yang merangkumi pengertian perhubungan cinta, kepercayaan dan sikap amanah antara suami dan isteri. Jika tanpa pakaian manusia kelihatan seperti haiwan dan tidak berupa manusia yang bertamadun, maka begitu juga tanpa perkahwinan, manusia adalah tidak bertamadun.

Di dalam Islam perkahwinan tidak dianggap sebagai satu keperluan tetapi tergolong sebagai suatu Ibadah yang menghampirkan manusia kepada khalidnya atau dengan kata lain, konsep perkahwinan di dalam Islam bukanlah untuk memenuhi tuntutan biologi atau kehidupan sosial yang tanpanya kenikmatan hidup menjadi tidak sempurna, tetapi ia mempunyai kepentingan Aqidah dan mempunyai kedudukan sebagai satu Ibadah. Rasulullah S.A.W menunjukkan contoh yang terbaik dalam kehidupannya. Sabda Baginda "Orang yang terbaik di antara kamu ialah orang yang berbuat baik kepada keluarganya, dan akulah yang paling baik terhadap keluargaku."

Jika saudara mempelajari sirah Rasulullah S.A.W saudara akan ta'ajub terhadap kehormatan yang Islam berikan kepada kaum wanita. Usaha Rasulullah S.A.W untuk menggembirakan isteri-isteri Baginda, penglibatannya dalam aktivitiaktiviti rekreasi mereka dan keadilannya terhadap mereka amatlah mulia. Rasulullah amat baik hati dan sayang kepada kanak-kanak, sehingga Baginda akan memendekkan solah (Namaz) yang paling di sukainya, jika ia mendengar suara anak-anak menangis, inilah kemuncak kemurahan hati dan pengorbanan. Tiada suatu pun yang lebih berharga bagi Rasulullah selain dari Solah. Meskipun demikian Rasulullah menyatakan, "Kadang kala saya gemar memanjangkan solah tetapi apabila saya mendengar suara kanak-kanak menangis, saya memendekkannya dengan berfikir yang ini akan menyusahkan hati para ibu (yang turut sama dalam solah jema'ah)".

Contoh-contoh ini ada di hadapan kita. Allah meminta kita menjaga nama baik kita. Kita tidaklah boleh mempunyai kepentingan yang lain. Perintah ini ditujukan kepada lelaki dan wanita. Saudara-saudara kini hidup alam masyarakat Amerika. Kita bukan sahaja mesti memperkenalkan ajaranajaran slam kepada masyarakat Amerika, tetapi juga kita mesti menunjukkan odel (contoh) sistem kekeluargaan Islam kepada mereka. Tamaddun Barat sekarang ini sedang menuju ke arah kejatuhan. Tidak ada kesangsian lagi.

Salah satu dari sebab-sebab utama ialah perpecahan keluarga. Perasaan kasih sayang dan sifat percaya mempercayai yang menjadi tunggak kehidupan keluarga sekarang ini diambil alih oleh sifat kepentingan diri dan syahwat. Ahli-ahli falsafah moden berasa bimbang dan kajian-kajian untuk menjaga keutuhan keluarga telah dilakukan. Seharusnya wujud perasaan simpati dan kasih sayang dari kedua-dua belah pihak, kerana inilah sahaja yang dapat memberikan kebahagian yang sebenarnya. Walaupun berlaku kemiskinan dan kelaparan tetapi dapat diatasi oleh ketenteraman kerana di sana terdapat kesediaan dan perasaan kasih sayang dan mengongsi perasaan antara satu sama lain. Sampai ke hari ini pun terdapat banyak keluarga di Timur yang tidak cukup makan tetapi mereka hidup bahagia kerana ada perasaan kasih sayang. Di Barat, terdapat segala kekayaan, penemuan saintifik, dan pencapaian keilmuan - tetapi hati-hati itu tidak merasai ketenangan dan kepuasan. Mereka tidak mampu menjadikan Rumah tangga mereka sebagai syurga. Seperti kata Iqbal: la mencari orbit bintang, tetapi tidak dapat menyelami dunia pemikirannya.

Manusia moden dilengkapi dengan kekuatan tetapi berpandangan cetek. Orang yang menjumpai kuasa matahari (solar radiation) tidak dapat menerangi jalannya sendiri, dan orang yang mencari orbit bintang-bintang — dan jika Iqbal ditakdirkan masih hidup pada hari ini ia mungkin akan berkata, orang yang menuju ke bulan tidak dapat mengembara dunia fikirannya sendiri dan menjadikan rumahtangganya tempat yang bahagia. Orang yang menukar dunia menjadi syurga berakhir dengan menjadikan rumahtangga sebuah neraka. Banyak dari keluarga-keluarga Barat yang tidak dirahmati dengan kedamaian dan kebahagiaan. Itulah sebabnya mengapa mereka mencarinya di kelab-kelab dan lain-lain aktiviti luar.

Saudara-saudara lebih menyedari aspek yang menyayat hati ini dalam kehidupan masyarakat Amerika kerana saudara telah tinggal di sini selama sepuluh atau dua puluh tahun. Tidak perlulah bagi saya memanjangkan perkara ini. Ayat suci Al-Quran yang saya bacakan menerangkan kebenaran asas sistem hidup Islam di mana masyarakat manusia ditegakkan atas dasar saling bergantungan dan hormat-menghormati hak antara satu sama lain. Setiap orang ada kemahuannya. Tetapi untuk menyedarinya sebagai satu hakikat kewujudan manusia dan untuk berterima kasih kepada orang yang menunjukkan hakikat itu ialah merupakan sikap yang ada pada seseorang Islam. Islam sentiasa berusaha mengembangkan dan mengukuhkan pandangan seumpama ini. Islam menghendaki setiap orang menganggap dirinya bergantung kepada orang lain dan menghormati semua ahli-ahli dalam masyarakat.
'
Dengan ini tidak timbul masalah penyesuaian. Semoga Allah melimpahkan taufiq dan hidayahNya kepada saudarasaudara pada jalanNya yang lurus dan saudara-saudara diberi kemampuan untuk melahirkan corak kehidupan masyarakat Islam yang akan menarik masyarakat Barat yang sedang tenat dengan hidup ini dan menggalakkan mereka supaya merenung dan meneliti dengan berhati-hati peraturanperaturan hidup bermasyarakat di dalam Islam.

KEBAHAGIAN BAGI ANAK ADAM
ISTERI YANG SOLEHAH
KENDERAAN YANG BAIK
RUMAH YANG LAPANG


Maksud Hadis Rasulullah S.A.W.
"Kebahagiaan bagi anak Adam ada tiga. Dan kesengsaraan terhadap anak Adam ada tiga. Maka di antara yang membahagiakan adalah isteri yang soleh, kenderaan yang baik serta rumah yang lapang. Dan kesengsaraan bagi anak Adam ada tiga iaitu tempat yang tidak baik dan isteri yang tidak baik serta kenderaan yang tidak baik."

Huraiannya: Dari hadis Rasulullah S.A.W. yang tersebut di atas dapatlah kita mengambil pelajaran bahawa apabila sesuatu keluarga itu mempunyai tiga asas penting, maka ianya akan memberi kebahagiaan. Tetapi sebaliknya tanpa kewujudan ketiga-tiga asas tersebut ataupun kurang salah satu daripadanya maka kesengsaraanlah yang akan diperolehi. Asas-asas yang penting ini adalah:

Isteri yang solehah
Rumah yang lapang
Kenderaan yang baik


Apabila dilihat dari sudut Pergerakan Islam, sememangnya ketiga-tiga asas di atas memainkan peranan yang amat penting sekali. Kelemahan sesuatu pergerakan Islam itu, adalah berkait rapat juga dengan kelemahan asas-asas tersebut. Ini adalah kerana, kegagalan isteri untuk berfungsi sebagai isteri yang soleh boleh memberi kesan yang negatif kepada para suami (yang terdiri daripada para dai'). Begitu juga rumah atau kenderaan yang tidak baik pula boieh melambatkan atau menghalang dari terlaksananya program-program Islam.

Kepentingan ini dirasakan lagi, di kala pergerakan Islam itu masih berada ditahap pembentukan awal. Pada masa ini pengorbanan kita sangatsangat diperlukan serta usaha-usaha gigih yang berterusan untuk menghadapi masyarakat jahiliyah yang begitu pekat, maka ketiga-tiga asas tersebut amat perlu diperolehi.


Artikel dipetik daripada Al-Mukminah Solehah.
Karangan oleh Syed Abu Hassan Ali Nadawi